Pages

Tuesday, 30 October 2012

Dimana Kita Bila Al-Quran Ditinggalkan?


Alhamdulillah, malam ini terasa diberi peluang oleh Allah untuk merasai ketenangan dalam berfikir tentang semua perkara dari perkara peribadi, keluarga, pelajaran, kuliah, sahabat-sahabat, masa depan sehinggalah hal-hal persatuan. Kalau sebelum ni, pelbagai program yang penuh bermula dengan Program Sambutan Pelajar Baru (AHLAN'12), Majlis Sambutan Aidiladha 1433 (SAHARA 1433H) dan mesyuarat-mesyuarat sehingga terlupa untuk memikirkan tentang diri sendiri. Begitulah tarbiah dalam kehidupan yang perlu kita tempuhi sebagai seorang insan. Kadang-kadang kita berada dibawah dan kadang-kadang kita berada diatas. Dimanapun kita berada, ujian tetap akan ada.

Dalam masa yang ada ini, masih diberi peluang oleh Allah untuk mencoretkan sesuatu buat perkongsian bersama-sama. Terasa hati ini di peringati saat mendengar nasyid oleh Mashary Rashid (atas), lantaran terlalu lama Al-Quran ditinggalkan tanpa dibaca atau diulang secara konsisten. Buah hati ku (Al-Quran peribadi), yang aku pegang sejak tingkatan 1 dan aku bawa sehingga aku berada di bumi Ambiya. Dah hampir 10 tahun aku bawa disisiku, dimana sahaja bila aku keluar negeri atau negara untuk bermukim, aku akan membawanya. Tapi semakin lama, aku terasa semakin jauh aku dengannya walaupun secara zahirnya, ia berada disisiku saat aku menulis ini. Apakan daya, mungkin iman semakin lemah dan perlu diperbaiki lagi. Semoga ruh Al-Quran kembali lagi dan aku mengharapkan sebegitu.

" Ya Allah rahmati aku dengan Al-Quran, Jadikan Ia pimpinanku, cahaya kepadaku, petunjuk kepada ku dan kerahmatan kepada ku. Ya Allah peringatkan aku apa yang aku lupa, ajarkanlah...ajarkanlah. Jadikanlah pembela (syafaat) ku ketika diakhirat nanti"

Moga jiwa yang kosong terisi kembali dengan Kalamullah, bukannya diganti dengan maksiat yang mengikut kata nafsu yang tidak pernah kenyang dengan perbuatannya, bahkan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Yang lepas, biarkan ia berlalu dengan taubat, perjalanan masih panjang. Jauh didepan Allah sediakan kebaikan untuk siapa yg melepasi ujian kehidupan. Moga aku juga tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya dalam ujian kehidupan ini.