Pages

Saturday, 23 July 2011

Hidup Dipersimpangan


Hari-hari dilalui bagai ombak dilautan. Kadang-kadang mengganas dek kerana nafsu dan syaitan yang menguasai. Kadang-kadang juga tenang setenang air dilautan. Dugaan dan tanggungjawab datang tidak henti tanda ingin menguji hambanya yang lemah ini. Namun, kekuatan yang ada begitu tipis sehingga hampir-hampir jurang neraka yang menjadi kediaman abadi. Tapi, aku masih bersyukur kerana Allah masih lagi memberi aku sedikit keimanan untuk aku menewaskan kembali cabaran yang aku hadapi. Masih diberi peluang untuk aku kembali walaupun setiap kali aku kembali kepadanya, dugaan semakin mencabar. Bukan niat untuk meluahkan di laman ini sebab aku tahu laman ini tidak boleh memberi mamfaat kepada aku melainkan dengan kehendaknya. Sekadar untuk lepas segala-galanya yang terpundak atas kepala yang rasanya tidak mampu untuk ditanggung semua.

Tetiba terfikir, banyak sangat dugaan untuk aku hadapi. Bermula dari diri sendiri, keluarga, sahabat-sahabat, persatuan, pelajaran, ilmu agama dan lain-lain. Tapi sumbangan aku masih sedikit untuk Islam kalau  dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang lain. Namun, dugaan yang ku hadapi sekarang sudah tak mampu aku tanggung. Kadang-kadang nafsu berbisik untuk berhenti. Ahh...usah dilayan, FUTUR bukan kamus dalam hidup aku. Sejak zaman sekolah lagi, aku dah janji pada diri ini, hidup mati aku hanya untuk Islam.

Aku akan berusaha juga, walaupun aku berseorangan yang mengerti diri ini. Aku redha walaupun aku keseorangan, gerak kerja Islam mesti diteruskan. Ya.., aku akui memang aku mudah lemah jika sahabat seperjuangan tidak bersama sehati sejiwa dalam menjalani kehidupan. Tapi aku kena kuat sebab manusia bukan seperti malaikat. Kadang manusia boleh berubah dengan kehendakNYA. Tapi apakah aku perlu berubah menjadi FUTUR kerana seorang manusia.Ingat wahai sahabat-sahabat yang aku sayangi dan diri aku sendiri, fatrah ini lah menguji segala-galanya. Menguji siapakah kita yang sebenarnya? Kalau dulu kita kata hidup hanya kerana Allah, berukhuwah kerana Allah. Tapi bila diuji kita lari dari kerja kita untuk Islam. Na'uzubillah... Moga Allah memelihara diri kita semua dan terus Istiqamah dan thabat berada diatas landasanNYA walau  apa pun yang terjadi.

Bukan niat aku untuk tayang masalah peribadi, tetapi untuk berkongsi buat sahabat seperjuangan. Disetiap sesuatu yang Allah ciptakan. Mesti ada disebaliknya kemanisan bagi yang berjaya menghadapi ujian dariNYA.

Wallahua'lam...

3.21pm
Bait RiTaj


Sunday, 17 July 2011

Sampaikan Aku Dengan Ramadhan


"Ya Allah, Berkati lah aku dengan Sya'aban dan sampaikanlah aku dengan Ramadhan"
Tinggal beberapa hari lagi Ramadhan 1432H akan tiba.
Diri ini masih resah gelisah memikirkan Ramadhan yang lalu.
Mungkinkah ia berulang kembali.
Moga Ramadhan tahun ini betul-betul menjadi tarbiah
buat hamba yang hina ini.

Selepas Ramadhan yang lepas,
aku bertekad untuk bersiapkan diri untuk Ramadhan yang akan datang,
untuk aku tebus kembali Ramadhan yang lalu,
terlepas dengan banyak perkara yang melalaikan.



Alhamdulillah,
tahun ini diberi kesempatan,
entah jadi atau tidak,
semuanya daripada Allah,
Lambaian Kaabah menunggu-nunggu,
untuk menjadi tetamu Allah di 1 Ramadhan 1432H.
Moga impianku tercapai.

Terima kasih kepada mak ayah
 kerana memberi sokongan  kepadaku,
Terima kasih sahabat-sahabat,
sanggup menemani aku ke sana,
bersama-sama menunaikan ibadat kepadaNYA.
terima kasih juga kepada sahabat,
kerana sanggup memikul tanggungjawabku semasa ketiadaanku di Lembah Nil
Moga Ramadhan tahun ini dapat ku lalui dengan keberkatan dariNYA
Moga Ramadhan tahun ini menjadi Madrasah Tarbiah buatku

Bait RiTaj
1.48pm

Saturday, 16 July 2011

Buatmu Teman

Sahabat,
Ingin sekali aku menjadi sahabat terbaik buatmu,
tapi aku bukan yang baik bagimu,
Namun, jauh di sudut hati,
aku ingin melihat dunia ini senyum,
dek kerana persahabatan kita atas dasar Islam
bertemu dan berpisah kita keranaNYA.


Buatmu teman,
ku pohon ampun dan maaf,
dikala ku harungi perjalanan kehidupan ini,
banyak salah dan silap aku lakukan buatmu.
Terima kasih kerana hadirmu,
mengajarkan aku erti pengorbanan,
kerana setiap pengorbanan itu tidak hadir,
jika kesenangan sahaja yang kita lalui.
Moga pengalaman lama yang kita lalui,
menjadi kita kuat untuk menghadapi manusia lain disekeliling kita.


Aku bukanlah malaikat,
tetapi hanya seorang manusia yang selalu dengan kesalahannya.
Tetapi disetiap kesalahan yang dibuat,
Taubatlah menjadi penyelamat,
selagi matahari diufuk langit masih terbit dari arah timur,
selagi itu peluang kita dengan pencipta terus terbuka.
Hanya kita yang memilih,
untuk kembali kepadaNYA
atau sebaliknya.



Moga kita terus istiqamah,
atas jalan dakwah yang kita bina,
walau ranjau yang kita hadapi,
kita tempuh bersama dengan Iman yang kita bina.

Buatmu sahabatku...


Bait RiTaj
8.00pm

Realiti Kehidupan



Lama dah rasa tak menukilkan kata-kata pada laman peribadi ku ini untuk berkongsi bersama sahabat sama ada yang berada di Bumi Mesir atau dimana-mana serata dunia. Terasa pada hari ini untuk berkongsi isu-isu semasa yang menjadi realiti kehidupan seorang manusia di bumi Allah ini. Macam-macam perkara yang berlaku di sekitar kita membuatkan aku untuk sama-sama menyatakan pendirian pada hakikat sebuah kehidupan. Dalam masa yang sama berkongsi untuk kita tahu perkembangan umat Islam pada masa ini. Rasulullah pernah bersabda:

"Barang siapa yang tidak ambil berat pasal urusan umat Islam, bukan dari kalangan aku"

Sedih, sakit dan peritnya umat Islam pada abad ini dek kerana kefahaman yang cetek, kita ditipu oleh kehidupan yang melalaikan. Kita ditipu dengan kejahilan yang kita warisi. Kerana kurangnya kesedaran dalam diri kita, masakan tidak segala tipu daya dunia kita percaya tanpa suluhan Ilmu yang sahih.

Palestin Bumi Umat ISLAM
Bersyukur kita pada Allah, dengan nikmat thaurah (revolusi) yang melanda Mesir pada 25 Januari 2011, Palestin seakan-akan dibebaskan oleh kuasa kuffar. Namun, perkhabaran tersebut mulai dicurigai kembali. Proses pendamaian antara HAMAS dan FATTAH mulai digangu oleh tangan-tangan kotor. Sempadan  Rafah yang dijanjikan untuk dibuka selepas ditutup oleh Regim Mubarak hanya dibuka untuk beberapa ketika dan ditutup kembali atas alasan masalah teknikal. Melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai, di Mesir mula dimasuki oleh agen-agen perisikan asing untuk menggangu proses kebangkitan kembali Bumi Mesir selepas Revolusi. Banyak perancangan yang tergangu, antaranya Presiden Mubarak masih bebas dan tidak didakwa, masalah pertembungan antara agama berlaku, perjanjian damai antara HAMAS dan FATTAH yang dihoskan oleh Kaherah senyap tanpa jawapan adakah berjaya atau tidak. Dalam masa yang sama Palestin terus dilanda serangan oleh Yahudi laknatullah. Flotilla ke-2 gagal sekali lagi memasuki Palestin selepas percubaan yang dibuat pada tahun sebelumnya. Apakah peranan kita wahai rijal-rijal Islam? Palestin bukan negara umat Palestin tetapi PALESTIN BUMI UMAT ISLAM. Ayuh sahabat kita bersama-sama menghulurkan bantuan selagi mana termampu. Boikot barangan Yahudi dan sekutunya adalah salah satu yang umat Islam seluruhnya mampu buat. Bukankah kewajipan tersebut sudah difatwakan oleh Dr Yusur Al Qardawi?.


Bersih 2.0
9 Julai 2011 menjadi tarikh keramat buat aku. Begitu juga bangsa dan agama aku dibumi Malaysia dalam menuntut sebuah keadilan yang dijamin oleh keamanan sejagat. Hanya dengan menuntut salah satu dari tuntukan Agama, kita dilayan seperti negara diktator walaupun mereka sendiri mengakui Malaysia sebuah negara demokrasi. Tapi sebaliknya berlaku. Tidak cukup dengan layanan yang diberi, pasca BERSIH 2.0 menyajikan kepada mereka yang menuntut kebebasan tersebut dengan pelbagai ugutan demi ugutan. Mahasiswa dibuang dari universiti, yang mendapat tajaan dan zakat diugut untuk ditarik semula. Apakah semua ini dinamakan kemanusiaan. Fikir-fikir la sendiri.

Mahasiswa pada hari ini
 Terima kasih buat mak dan ayah kerana mendidikan aku mengenal erti tanggungjawab sebagai umat Islam. Tanpa didikan mereka mana mungkin hari ini aku kenal Islam sebagai penganut agamanya bukan kerana Islam warisan yang aku warisi. Pengalaman dalam kepimpinan juga mengajarkan aku tentang tanggungjawab kepada Islam, walaupun diri aku bukan yang terbaik. Ramai diantara kita sebagai mahasiswa Islam tidak kenal siapa kita yang sebenarnya? Apa tanggungjawab kita berada diatas muka bumi ini? dimana kewajipan yang perlu kita lakukan selaku hambaNYA? persoalan itu hanya berlegar-legar disekitar kita tanpa jawapan yang dijawab  dengan tindakan kita sendiri.

Dunia hari ini menuntut kita sebagai mahasiswa Islam untuk bangkit menyatakan kebenaran. Bukankah mahasiswa itu seorang pemuda-pemudi yang mana suatu masa dahulu menjadi pendokong kuat pada Agama Islam. Sejarah membuktikan segala-galanya. Sahabat-sahabat Rasulullah ramai dari kalangan orang muda, Sultan Muhammad Alfateh yang membuka Kota Constantinaple bukankah dari kalangan pemuda? Jatuhnya kerajaan Indonesia yang diktator disebabkan tekanan mahasiswa di seluruh Indonesia dan yang terkini, Revolusi Tunisia dan Mesir didokongi oleh golongan pemuda. Ayuh mahasiswa/wi, pemuda-pemudi Islam. Bangkitnya kita bukan untuk bangsa tapi untuk agama kita yang suci. Kebenaran yang diimpikan bukan omongan kosong tapi ia satu tuntutan agama yang diiringi oleh fitrah kita selaku manusia ciptaan Allah dan khalifah Allah dimuka bumi. Ayuh sahabat mahasiswa/wi, pemuda-pemudi Islam, kita bersatu bukan meroboh. Kita juga bukan pemula sebuah perjuangan tetapi kita hanya penerus perjuangan yang dimulakan oleh generasi terdahulu.

Selagi mana nyawa dikandung badan, selagi itulah tanggungjawab kita selaku umat Islam terpundak atas kita. Lupakan keseronokan yang dibawa oleh budaya Hedonisme dalam masyarakat kita. Sesungguhnya golongan mereka bergelak ketawa melihat kita mengikut rentak mereka dalam agenda menjatuhkan Islam. Tetapi kita terus dengan kealpaan. Islam tidak memerlukan kita kalau kita tak nak dengan Islam tapi kita memerlukan Islam kerana itu sahaja penyelesaian untuk segala masalah yang menimpa umat dulu, kini dan selamanya.

Wallahua'lam...

Bait RiTaj
7.03pm

Thursday, 7 July 2011

Majlis Bersama Ulama'


Alhamdulillah, masih diberi kekuatan oleh Allah untuk menulis walaupun dalam keadaan diri ini merasa amat lemah dengan ujian yang Allah timpakan keatas diri ini. Moga Allah terus memberi kekuatan kepada ku untuk menghadapi segalanya sebab aku tahu Allah tidak akan membebankan hambanya melainkan hambanya itu mampu menghadapi ujian tersebut. 
Sekadar berkongsi gambar ketika menghadiri Majlis Munaqasyah PHD As-Syeikh Dr Usamah Sayyed Hassan Al-Azhari bertajuk "Al-Alaa' Al-Masnua'aat fil Ahadis Al-Mauduah" Tahkid daripada kitab Imam As-Sayuti di Dewan Muhammad Mahmud Hasyim, Kuliah Usuluddin, Jamiah Al-Azhar Bil Zagazig pada 4 Julai 2011 (Isnin) bersamaan 2 Sya'ban 1432H. Bersyukur kepada Allah kerana terpilih untuk menghadiri Majlis ilmu ini walaupun diri ini tidak memahami tajuk yang dibentang oleh Syeikh tetapi dibantu oleh Ustaz Nik Saifullah (Tahun akhir, kuliah Usuluddin Syu'bah Hadis, Zagazig) untuk translate thesis yang dibentang oleh Syeikh.
Alhamdulillah ini kali kedua bersemuka dengan Syeikh yang dikatakan bakal menjadi Mufti Mesir selepas Syeikh Ali Jumaah yang juga Gurunya yang paling disayangi. Kali pertama ketika Majlis Pembacaan Kutub Sittah masa tahun 1 dulu. Dapat berkhidmat dengan Syeikh sekadar memegang kitab yang dibawanya dulu. Satu pengalaman yang tidak pernah dilupakan termasuk jadi pengawal Syeikh Ali Jumaah masa majlis itu satu ketika dahulu. Bukan untuk dibanggakan tetapi ingin melahirkan rasa bahagia bersama dengan manusia yang paling dekat dengan Allah.
Ramai tetamu yang hadir pada majlis ini terdiri daripada ulama-ulama Mesir,Yaman, Syiria, dan juga dari Palestin. Antaranya, Syeikh Muhammad Abul Huda Al Ya'qubi (Syiria), Syeikh Umar Hasyim (Bekas Rektor Al-Azhar), Syeikh Yusri Al-Jabbar (Pakar Bedah, Ulama Hadis, Bapa Mertua Syeikh Usamah), Habib Ali Al-Jufri, Habib Abdullah As-Sagghof (Yaman) dan ramai lagi tetapi aku tak kenali. 
Alhamdulillah dapat juga aku bersalam dengan Habib Ali Al Jufri walaupun mula-mula tidak berkesempatan untuk mendapatkannya disebabkan terlalu ramai orang serbu. Memikirkan adab bersama Ulama' aku berundur ke belakang kerana terlalu sesak sehingga menghalang pergerakan Syeikh. Aku terus pergi solat Asar dan hanya tunggu di luar. Alhamdulillah tak ramai orang masa Syeikh nak balik menyebabkan peluang yang diberi aku sambut tangan Habib Ali. Seumur hidup aku tak pernah aku mimpi jumpa ulama'-ulama' yang sangat berpengaruh dengan Ilmu Islamnya. Allahurabbi.....
Tujuan penulisan ini sekadar untuk berkongsi kegembiraan dihati yang tidak terhingga bila bersama ulama. Cukup setakat ini, biar gambar yang menceritakan segala-galanya.
 Majlis bermula

 Selepas pengumuman keputusan dengan pangkat tertinggi

Ketika perbentangan Thesis, 3 jilid kitab tuh

 Selepas mendapat gelaran Doktor dengan pangkat tertinggi

 Rais Jamiah Al Azhar Cawangan Zagazig (nama lupa)

 Salah seorang Syeikh yang menilai thesis Syeikh Usamah (nama pon lupa)

 Ulama Dari Palestin

 Syeikh Muhammad Abul Huda Al Ya'qubi bersama Syeikh Usamah ketika perbentangan

 Habib Ali Al Jufri

 Syeikh Yusri

Antara tetamu yang hadir, Alhamdulillah ramai orang Malaysia yang hadir
 Habib Ali diiringi Syeikh Jamal Farouk

 Kenderaan yang dinaiki Habib Ali

 Tetamu yang hadir dengan 2 buah bas dan kerata-kereta

 Syeikh Ahmad Umar Hasyim ke kenderaan untuk pulang

 Syeikh Usamah

 Syeikh Usamah dalam kenderaannya

Kuliah Usuluddin, Jamiah Al Azhar Biz Zaqaziq

Wednesday, 29 June 2011

Indahnya Kehidupan


Ku berjalan menyelusuri pantai nan indah,
Melihat ciptaan Allah yang maha hebat,
Ombak-ombak menghempas ditepian pantai,
Diiringan desiran angin yang sentiasa bertiup,

Indahnya alam yang sentiasa mengikut sunnatullah,
Sentiasa berzikir memuji penciptaMU Ya Allah.

Terfikir sejenak,
Indahnya jika dicipta sebegitu,
Tetapi takdir menentukan segala-galanya,
Khalifah Allah tetap menjadi tanggungjawabku,
Setiap hari mencari sinar kemulian,
Bukan kemulian didunia,
Tetapi mencari sinar kemulian buat hari mendatang.

Namun begitu,
Dicelahan usaha yang dibina,
Terselit sebuah ujian yang menjatuhkan diriku kelembah kehinaan,
lebih hina daripada makhluk lain ciptaan Allah.
Aku cuba bangkit keseorangan,
Tidak mampu,
Ku cuba lagi,
 Sehingga aku merasakan tiada lagi harapan.





Datangnya sahabat,
Membimbing daku untuk mengenal pencipta,
Lemahku semakin hilang,
Ku bangkitkan lagi Iman dalam diriku,
Demi mencari sinar kemulian disisiNYA.

Indahnya Ya Allah,
Aku bersyukur kepadaMU,
KAU datangkan seorang sahabat,
Sahabat yang sentiasa mengingatkan aku denganMU,
Sentiasa menjadikan Iman ku berbahagia,
Walaupun di pertengahan jalan,
Ujian tetap melanda,
Tetapi kerana seorang sahabat,
Menjadikan diriku makin dekat dengan MU.

~Terima Kasih Allah~

Bait RiTaj
11.55pm

Wednesday, 15 June 2011

Mengingati Allah


Alhamdulillah, masih diberikan kekuatan untuk terus menulis walaupun dalam kesempitan masa untuk memikirkan sesuatu yang lebih penting dalam tanggungjawab aku diatas dunia ini. A'la kulli hal, semuanya datang dari Allah sama ada benda itu dibenci ataupun disukai. Yang dibenci itu ujian bagi melihat sejauh mana kita beriman kepada Allah dan yang disukai itu juga ujian bagi melihat sejauh mana kita bersyukur di atas nikmat kurnian daripada Allah. Malahan ia menjadi suatu kekuatan bagi kita dalam menghadapi ujian apabila kita sentiasa mengingati Allah. Firman Allah swt:
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda(kebesaran) bagi orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya tuhan kami, tidaklah engkau menciptalah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, maha suci Engkau, lingdungilah kami dari azab neraka"
(Ali-Imran:190-191)

Teringat zaman sekolah dulu, ayat ini menjadi kelaziman buat diri ini dan teman-teman, entah kenapa waktu itu  sangat selalu membaca ayat ini walaupun tidak mengetahui maknanya. Namun, ia menjadi satu tarikan untuk menjadi amalam apabila ustaz memberitahu tentang sunat ayat ini untuk dibaca ketika bangun malam( qiam) sambil melihat langit ciptaan Allah. Ya, memang sesuai jika kita perhatikan maknanya.

Sesungguhnya segala makhluk yang diciptakan oleh Allah mempunyai peranan yang tersendiri. Asal manusia adalah binatang hidup tidak lain melainkan sama sahaja dengan binatang-binatang lain. Hanya dipandu dengan nafsu semata-mata. Tetapi Allah kurniakan akal kepada kita untuk kita memikirkan tanggungjawab kita terhadapNYA. Akal sahajalah yang membezakan kita dengan haiwan-haiwan. Tetapi manusia tetap ego dengan kelebihan yang diberikan sehingga jatuh martabat mereka lebih hina dari binatang. Mereka lupa dari mengingati Allah sehingga nafsu dan syaitam menguasai diri. Tiada benteng yang terbina dengan Zikrullah dalam diri mereka untuk mempertahankan diri dari godaan tersebut.


Ayuh sahabat, sama-sama memperingati antara satu sama lain. Disekeliling kita terdapat banyak ciptaan Allah.Binatang, tumbuh-tumbuhan, bangunan-bangunan, lautan luas, hutan belantara, pokok-pokok dan banyak lagi ciptaan yangNYA. Tidak lain melainkan sebagai peringatan kepada kita dan menyedarkan kita hakikat penciptaan Allah yang maha Agung. Jadikan setiap pandangan kita dengan berfikir tentang kekuasaan Allah...Allahu Akhbar, Hasbunallahu Wa Nikmal Wakil Wa la haula wala kuwwataillah billah...

Sekadar sepotong ayat dari Al Quran surah An Nahl ayat 66, untuk difikirkan bersama dipagi  ini. Disana Allah memberitahu tentang hakikat penciptaan haiwan ternakan yang benar-benar memberi Ibrah (pengajaran) yang amat besar bagi sesiapa yang mengetahui fakta ini. Teliti betul-betul pada fakta diakhir ayat. Maaf...penulis tidak merujuk pada mana-mana tafsir untuk memberitahu dalam entri ini. Cuma, apabila terbaca surah ini pada pagi ini dengan melihat maknanya, terfikir sesuatu fakta Sains perubatan yang dipelajari. Ia berkaitan dengan khasiat SUSU. Sama-sama perhatikan...

"Dan sesungguhnya pada haiwan ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum dari apa yang ada dalam perutnya(berupa) susu murni antara kotoran dan darah, yang mudah ditelan bagi orang yang meminumnya"
(An-Nahl:66)

 Wallahua'lam...

Bait RiTaj
4.56am

Monday, 13 June 2011

Ideologi vs Hukum Allah


Berfikir, merenung ciptaan Allah, adakah aku 
masih dijalanNYA, atau sebaliknya..."Ya Allah moga aku 
terus thabat atas jalanMU walaupun aku tahu banyak maksiat 
aku lakukan terhadapMU"

    ---------------------------------------------------------------------------------------------------------


Penyalahgunaan Agama
sebagai cara hidup sehingga----> SEKULARISME----> KAPITALISME------>SOSIALISME
mengongkong kehidupan     (Zaman Pencerahan)         (nk betul ekonomi)     (nk betulkan kapitalis)
oleh Institusi geraja (zaman
gelap)

Setelah semuanya gagal, digantikan balik dengan Ideologi yang lain. Timbul lah LIBERALISME, FEMINISME, dan -isme2 lain atas nama ingin membetulkan kehidupan kearah kesejahteraan sejagat. Namun, semuanya gagal...beginilah sikap manusia yang melupakan pencipta. Memperhambakan diri pada kehidupan, bukanya kepada tuhan yang menciptakannya.

ISLAM agama penyelesaiannya (Al Islam huwa Hal). Manusia cuba menipu diri sendiri dengan menafikan kewujudan Allah yang telah menyediakan hukum alam. Yang menyediakan segala-galanya untuk kemakmuran bumi miliknya. Tetapi manusia tetap ego dengan enggan menjadikan Hukum yang sedia ada sebagai jalan penyelesaian bahkan menghina hukum tersebut dengan tohmahan yang tidak patut. Zalim, jumud, ketinggalan zaman dan banyak lagi cercaan terhadap hukum tuhan.

Sama-sama fikirkan...

Wallahua'lam...

11.41pm
Bait RiTaj

Saturday, 11 June 2011

Hidup Berprinsip

(Maaf, entry dibawah ditulis dengan bahasa campur dek kerana penulis orang Terengganu tulen,diharap tidak digunakan dalam karangan anda)

Petang-petang yang lapang ni, tertunggu-tunggu gak live untuk tengok Final Piala FA, Terengganu vs Kelantan. Bakpe tau rasa assabiyyah time ni untuk melihat Terengganu menang. Walaupun diri ini tak pandai mana main bola sangat, tengok bola cukup lah, kalau negeri lain, tobat aku tak layan dah bola ni...hahaha.

Sambil-sambil tunggu live, teringatkan sahabat-sahabat disekeliling, masing-masing dengan kerenah masing, yang 3rd Years esok Oral Pharmacology (moga yang terbaik buat kalian), yang 2nd Years lak tertunggu-tunggu written Histology, begitu juga yang lain2. Alhamdulillah, aku dah selesai semua, hanya menghitung hari untuk menambah ilmu-ilmu lain dariNYA. Moga masa yang ada ni digunakan sepenuhnya untuk kepentingan Ilmu tersebut. (mohon doa sahabat-sahabat)

Sehari dua ni, banyak plak aku terfikir tentang prinsip. Mostly, manusia atas muka bumi ada prinsip masing-masing. Kadang-kadang ia hanya untuk memastikan hidupnya tak lari dari landasan Allah ataupun kadang-kadang ia menghalang pergerakan hidup dek kerana prinsip yang keterlaluan. Minta maaf, mungkin ade sahabat yang baca entry ni terasa begitu sebab ada yang dah kene marah kerana prinsip ni dalam 2, 3 hari ni. "Aku menghormati prinsip mung, kerana prinsip yang mung buat itu lah membuatkan aku terfikir, apakah prinsip yang aku buat dulu aku penuhi tuntutannya". Terima kasih sahabat, mahu saja aku sebut namanya disini, tapi biarlah ia menjadi rahsia. Kerana kamu lah aku rasa terhina di depan Allah. Kerana kamu lah aku mengingati Allah. Kerana kamu lah aku berasa bersalah pada manusia kerana dosa-dosa aku pada mereka. Terima Kasih Allah kerana kurniakan sahabat seperti ini. Moga dia sentiasa dalam lindungan Allah bersama teman-teman seperjuangan yang lain.

Pinjam phrase dari Thomas Jefferson:

"In Matters of style , swim with the current, In matters of PRINCIPLE, stand like a rock"


Tertarik dengan  kata-kata ni, aku amik dari Ucapan perasmian Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Mantan Timb Presiden PAS ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS baru-baru ini. Mendengar kata-kata tersebut membuatkan aku berfikir lagi tentang prinsip. Ya, memang benar, kita sebagai manusia perlu ada prinsip. Tapi prinsip yang bagaimana boleh kita letakkan pada diri kita. Tepuk dada tanya Iman, jangan tanya nafsu. Aku tinggalkan persoalan untuk sama-sama berfikir untuk 'Islah'kan diri sendiri khasnya dan ummah amnya.

Wallahua'lam...

 2.47pm
Bait RiTaj

Thursday, 9 June 2011

Mukhtasar Ibn Abi Jamrah

"Nikmat masa lapang diberikan, jangan dibiarkan ia berlalu tanpa pengisian"

Alhamdulillah, nikmat masa lapang yang diberikan Allah ini dapat juga aku tengok-tengok buku-buka yang dah lama beli tapi tak pernah pernah nak khatam. Biasalah, kalau bagi novel...cepat je habis kan?

Alhamdulillah, sekadar berkongsi apa yang ada. Kalau air dalam gelas disimpan dengan penuh dan tidak dicurah untuk minuman orang lain, bagaimana kita nak tambah air tersebut. Ya, begitulah perumpamaan yang  sesuai untuk manusia terhadap ilmu pengetahuan. Jom Kenali kitab....!!!



Kitab ini, mula aku kenali pada bulan Ramadhan 1431H a.k.a tahun lepas ketika Daurah Kitab bersama As Syeikh Ustaz Husni Ginting (Indonesia) yang dianjurkan oleh DPMZ, kebetulan aku jadi MC slot tu, memang melekat la dekat dewan sambil mendengar Ustaz Husni bermuhadharah. First Impression, ingatkan kitab  apa, rupa-rupanya himpunan ringkasan hadis daripada Shahih Bukhari. Tapi masa daurah tu guna kitab dalam Bahasa Arab, namanya "Hasyiyah As Syeikh Muhammad As Sannawi a'la Mukhtasar Ibn Abi Jamrah". As Syeikh Muhammad bin Ali Al Syafie Al Syannawi pernah menjadi Rector Magnificus Universiti Al Azhar, Mesir. Semasa Daurah, kadang-kadang faham, kadang-kadang tak juga. Nasib baik Ustaz Husni cakap melayu, boleh la memahami syarahnya sambil tangan menanda makna secara harfiyyah dekat kitab.

Alhamdulillah, balik Malaysia tahun lepas terjumpa Kitab Mukhtasar ini dalam bahasa Melayu terjemahan Ustaz Mustafa Abdul Rahman. Terus beli dan baca waktu lapang. Banyak hadis-hadis yang diringkaskan merangkumi seluruh kehidupan kita bermula hadis pertama yang menyentuh berkaitan wahyu pertama Rasulullah dan akhir hadis pula menyentuh berkaitan kemasukan ahli syurga ke dalam syurga serta kurnian Allah keatas RedhaNYA yang kekal.

Kitab ini diberi nama Jam'u Al Nihayah Fi Bad'i Al Khair wa Al Ghayah. Ia diringkaskan olehAl Iman Al Muhaddith Abu Muhammad Abdullah Sa'ad bin Abi Jamrah Al Azdi Al Andalusi (wafat di Mesir pada tahun 699H). Beliau seorang sufi dan faqih. Kitab ini kemudiannya telah beliau syarahkan dan diberi nama "Bahjatun Nufus wa Ghayatuha bi Ma'rifati Ma Laha wa 'Alaiha."

Mukhtasar ini dikenali sebagai Mukhtasar Ibn Abi Jamrah memuatkan 294 hadis sahih yag disaring daripada 7397 buah hadis dalam Al Jami' Al Shahih Al Bukhari. Ibnu Hajar turut mengutip beberapa penjelasan yang terdapat dalam kitab Syarah "Bahjatun Nufus" di dalam kitabnya Fathul Bari

Berkenaan kitab Fathul Bari pula atau nama panjangnya Fathul Bari bi Syarhi Shahih Al Bukhari, ia merupakan syarah ke atas kitab Al Jami' As Shahih Al Bukhari. Karya ini dikarang leh Abil-Fadl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar Al Asqalani (lahir pada 773H dan wafat pada 852H). Ramai menyatakan kitab ini adalah kitab syarah Shahih Bukhari paling baik, lengkap dan sempurna. Mempunyai 13 jilid dan dikarang selama 25 tahun (fuhh.... lama tu) dan menjadi rujukan utama ulama' selepasnya.

Selain daripada itu, terdapat tiga lagi kitab yang mensyarahkah kitab Shahih Bukhari ini. Antaranya, kitab Al Kawakib Al Darari Fi Syarhi Sahih Bukhari, kitab 'Umdatul Qari dan kitab Irsyad Al Sari ila Shahih Bukhari. Walaubagaimanapun, Kitab Fathul Bari tetap menjadi rujukan utama syarah Shahih Al Bukhari.

InsyaAllah, lepas ini, rasa nak berkongsi hadis yang ada dalam kitab ni bersama sahabat-sahabiah yang banyak menyentuh tentang kehidupan kita. Sebelum mengenal hadith, kita berkenalan dulu dengan kitabnya. Bayangkan daripada 7397 hadis shahis riwayat Bukhari diringkaskan dengan diambil hadis-hadis penting sepertimana ungkapan As Syeikh penulis Mukthasar yang ada dalam kitab ini:

"Demikianlah banyak didapati hadith-hadith yang mengenai hal tersebut. Memandangkan sangat sukar dan kurangnya himmah menghafaz hadith-hadith sedangkan kitabnya banyak disertai dengan sanad-sanadnya sekali, maka aku berpendapat untuk maksud tersebut bahawa aku memilih sebuah kitab diantara kitab-kitab shahih untuk aku ringkaskan daripada beberapa hadis menurut sebanyak mana yang diperlukan dengan ditinggalkan sanadnya kecuali perawi hadis yang dimestikan supaya mudah dihafaz dan banyak pula faedahnya. insyaAllah".

Ayat buku ini agak lain sikit daripada bahasa Melayu stardard disebabkan terjemahan dari kitab asal berbahasa arab yang memerlukan penelitian supaya tidak lari dari makna asal. Tetapi ia cukup mudah difahami untuk orang awam...InsyaAllah.

Ungkapan awal kitab ini ada juga disebut kelebihan belajar ilmu hadis. Antaranya:

"Sesungguhnya adalah sehampir-hampir jalan kepada Allah ialah mengetahui hadith dan menghafaznya menurut sebagaimana dituntut oleh hadith itu sendiri, diantara sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang menyampaikan satu hadith kepada ummatku untuk menegakkan sunat atau menolak bida'ah dengan dia, maka baginya syurga".

Menurut Ibn Hajar(Nota kaki dalam kitab), hadis diatas dha'if disebabkan amal yang terlampau sedikit dibalas dengan pahala yang banyak. Tetapi aku hanya menakhalkan daripada penulis kitab ini sahaja. Apa-apa pun hadis dha'if ada Fadaail nya.

Moga dengan perkongsian yang sedikit ini, menjadi bekalan untuk aku mengadap tuhan suatu hari nanti. Mohon ditegur jika salah silap.

Wallahua'lam...

8.10am

Bait RiTaj

Wednesday, 8 June 2011

"Nafsu" as Prepotent Stimulus

Alhamdulillah, bersyukur buat pencipta sekalian makhluk kerana masih memberi peluang kepada hambanya ini untuk menulis walaupun kadang-kadang apa yang ditulis itu untuk diri sendiri. Ya, memang itu yang Islam ajar, "aslih nafsak, wad'uu ghairak" dan "al amru bilma'ruf wannahyu a'nil mungkar". Nama pun manusia, memang kita tidak terlepas dari melakukan dosa walaupun dosa itu besar atau kecil. Namun begitu, jauh disana Islam mengajar kepada kita untuk bertaubat setiap kali melakukan dosa tersebut dan dalam masa yang sama menyeru manusia lain kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Moga-moga kita berakhir dengan husnul khatimah sebagaimana dijanjikan kepada mukmin yang bertaqwa.

Bercakap tentang melakukan dosa, memang kita tidak boleh lari dari hawaa' nafsu. Ia salah satu cara untuk mencapai nikmat yang membuahkan hasilnya "DOSA". Semua maklum mengenai atau mungkin semua "pernah" merasai kelazatan melayan hawaa' nafsu (maaf kalau kurang sopan, tapi Islam itu jelas). Walaupun kita tidak mendidiknya untuk buat kejahatan, ia tetap membuat kejahatan sehingga menghilangkan keimanan dan kebaikan yang kita buat semasa melayan hawaa' nafsu. Sebab itu aku gelarkan ia sebagai prepotent stimulus. Teori perubatan menyatakan Pain is prepotent stimulus but aku pulak buat teori baru nafsu is prepotent stimulus. Bukan untuk menyalahi teori perubatan, tapi ia sebuah realiti yang pernah diperkatakan" apabila nafsu menguasai diri, maka hilanglah kebaikan dan keimanan ketika itu". Sebab itu, aku katakan ia sebagai prepotent stimulus yang mana masa ransangannya menghalang semua ransangan yang lain melainkan kelazatan membuat dosa.

Islam didatangkan kepada kita sebagai penyelesai masalah (Islam Huwal Hal -Tema Ikhwanal Muslimin Mesir). Kita akui nafsu  ada dalam diri kita, tapi bagaimana kita mengawalnya dengan kekuatan iman yang menundukkan nafsu dalam diri kita. Mujahadah itu jalannya. Tapi bagaimana? Ramai boleh berkata-kata dengan mulut dan menulis dengan tangan dalam blog(macam aku), tapi ramai yang masih tidak memahami maksud mujahadah kita dalam melawan nafsu. Ia sesuatu kesungguhan dalam diri kita untuk melawan nafsu dari menguasai diri. Ia bukan lahir daripada dengan sendiri tetapi memerlukan usaha dari kita sendiri untuk meningkatkan iman dalam diri melalui tarbiah ruhiyyah dalam rangka memperkuatkan jati diri dan iman disamping mendekatkan diri kita dengan Allah. Nabi pernah bersabda:

Daripada Abu Umamah al Bahili ra, Nabi saw bersabda :" perbuatan-perbuatan baik melindungi serangan jahat" (HR Tarmizi dan Ahmad)

Ayuh sahabat-sahabiah sekalian, sama-sama membuat kebaikan dengan bersedekah, bertahajjud, berpuasa dan lain-lain lagi kebaikan yang menjanjikan kekuatan immunity badan kita dari serangan kejahatan nafsu dan iblis. Hanya kita yang mampu mengubahnya, bukan orang lain. Orang lain mampu memberi peringatan, yang menerima untuk respond tu kita bukan orang lain tapi diri kita sendiri. 

"Koreksi diri, cari iman bukan koreksi diri orang lain dengan mencari keaiban"

Aku bukan jaguh dalam penulisan, tapi cukuplah untuk aku gunakan medium ini untuk menunaikan hak terhadap sahabat Muslim yang lain. Aku bukan seorang a'lim untuk memberi ilmu kepada orang lain, tetapi cukuplah dengan ilmu aku yang sedikit ini untuk aku kongsi dengan sahabat-sahabiah muslim yang lain. Mohon ditegur jika salah sebab aku bukan maksum untuk diterima segalanya.

Salam Imtihan (fatrah sekarang), Salam Mahabbah (buat yang cinta pada diri ini kerana Allah), Salam Ukhuwah (buat yang bergelar muslim), Salam Perjuangan (buat pejuang untuk menegakkan Daulah Islam di muka bumi ini).

Wallahua'lam...

9.00am
Bait RiTaj

Sunday, 29 May 2011

Coretan Seorang Penuntut Kejayaan

Salam mahabbah, salam ukhuwah buat sahabat-sahabiah, rasa dah separuh tahun tidak menulis dan berkongsi dalam ruangan ini. Bukan kerana tiada masa, tapi kemalasan yang menebal dalam diri untuk menulis dan berkongsi melanda diri. Konflik kah itu?

Tinggal 2 hari lagi, written final year akan aku hadapi. Namum, persiapan yang dibuat masih "in progress". InsyaAllah berbekalkan doa mak ayah di Malaysia dan juga sahabat-sahabat sekalian, aku cuba yang terbaik tahun ini, bagi mengubat kembali kekecewaan yang melanda tahun lepas. Bukan mempersalahkan keadaan, tapi mengimpikan sebuah kejayaan yang diredhai oleh Allah. Redha dengan keadaan yang menjanjikan sebuah hikmah yang tidak ternilai oleh manusia. 

Sekadar berkongsi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim (bukan saya):

"Daripada Sa'ad bin Abi Waqqas ra, Rasulullah bersabda: Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan beribadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah wara' ".

Ia memberi maksud menambah ilmu lebih utama berbanding menambah ibadat. Wara'pula ialah meninggalkan perkara syubhah atau sesuatu yang meragukan ataupun meninggalkan sesuatu kerana dibimbangi terjebak dengan sesuatu kejahatan yang lain manakala takwa ialah meninggalkan perkara yang haram.

Ramai manusia melihat memperbanyakkan amal ibadat itu lebih mulia berbanding menambah ilmu pengetahuan. Disebabkan itulah ramai manusia sekarang mengamalkan ibadat tanpa mengetahui apa yang dilaksanakan secara Ilmiah. Taklid? Bukankah itu rugi namanya? ayuh sahabat tambahkan ilmu, kualitikan amalan. Sama-sama menuju redha Allah.

Buat teman-teman sekuliah dan juga yang berada dalam fatrah imtihan, buat yang terbaik, kejayaan kita adalah kejayaan umat Islam umumnya. Dalam mencari kejayaan didunia, jangan lupa masa depan yang pasti menuntut kita untuk berjaya juga diSANA.

Wallahua'lam
6.40am
Zagazig

Wednesday, 4 May 2011

Mencari Ketenangan Dengan Zikrullah